Adbox

Search This Blog

Sunday, September 7, 2014

Menyingkap Sejarah Silam...


SIRI KEDUA-
SERANGAN TERHADAP BALAI POLIS SEDILI BESAR, KOTA TINGGI


            Minat untuk membongkar kisah yang tersirat tetapi belum tersurat itu membuka  lembaran baru apabila penulis berjaya menemui lelaki tua tersebut yang lebih mesra dengan panggilan Tok Man Sampan. Setelah memperkenalkan diri serta tujuan datang untuk berbual dan bertanya khabar, beliau yang senang hati menerima kunjungan ini Tok Man atau nama sebenar Othman bin Bakri 79 tahun, anak jati Tanjung Sedeli, Kota Tinggi rupanya juga seorang anggota polis yang pernah berkhidmat dalam pasokan  Home Guard (HG). Beliau menyertai unit operasi atau lebih dikenali Home Guard Operation (HGO) kawasan Sedeli dalam tahun 1953.  Menurut beliau kisah dan cabaran hidup di zaman komunis memang hebat. Pertemuan ini juga memberikan kepuasan yang amat mendalam pada penulis  memandangkan beberapa catatan sejarah, tragedi  yang berlaku antaranya  kisah serangan terhadap Balai Polis Kambau, Kota Tinggi  pada 28/6/1950 yang mengakibatkan kematian Timbalan Ketua Polis Balainya juga dalam pengetahuan beliau.

  
 Kambau jaraknya 35 km dari IPD Kota Tinggi kini hanya sebuah estet kecil  hanya didiami  sejumlah kecil pekerja ladang. Apabila diimbas kembali tragedi yang berlaku di Balai Polis Sedeli besar, ternyata soalan tersebut mengejutkan beliau dengan tidak menyangka penulis tahu akan cerita tersebut. Penulis khabarkan yang kisah tersebut diperolehi sewaktu penulis berada di Kuala Rompin Pahang,. Dengan nada yang penuh bermakna beliau menyatakan kisah tersebut memang benar, tidak banyak yang mengetahui akan cerita itu malah antara yang terbunuh ialah Ketua Polis Balai tersebut bernama Sarjan Taib iaitu bapa saudara beliau sendiri. Menurut beliau, waktu kejadian tersebut umur beliau boleh dikatakan dewasa malah beliau sebenarnya menumpang tinggal di rumah bapa saudaranya itu. Bagaimanapun pada hari kejadian beliau balik ke rumah bapanya di Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil)  yang jaraknya tidak sampai 1 kilometer jika menggunakan jalan sungai ketika itu.

  Beliau hanya sampai semula ke Sedeli Besar, lewat sewaktu menziarahi jenazah bapa saudaranya itu. Menurut beliau lagi dari cerita yang diperolehi penduduk setempat yang melihat kejadian sebelum dilaksanakan hukuman tembak Bintang tiga tersebut telah meniup bugle sama seperti dalam filem Bukit Kepong, kemudian barulah hukuman  tembak dilaksanakan.Semua angggota  polis dibalai itu  dihukum tembak mati oleh komunis seorang demi seorang dan menurut beliau jumlahnya antara  6 hingga 7 orang  waktu itu. Mereka telah dituduh sebagai pengkhianat kerana bekerja dengan Jepun sebagai Jonakim (Polis Jepun). Kerakusan dan berkuasanya Bintang Tiga menjadikan keadaan ketika itu lebih gawat berbanding di Zaman Jepun. Secara amnya wang yang ada waktu itu  tidak lagi berguna. untuk mendapatkan barang keperluan harian semuanya hanyalah melalui surat yang dikeluarkan oleh Bintang Tiga  

          Pak Othman bin Bakri , Kuala Sedeli, Kota Tinggi, Johor

Penulis kemudiannya bertanya persoalan apakah masa itu tidak ada orang melayu yang berani menentang keganasan komunis seperti penentangan Kyai Salleh di Batu Pahat Johor. Menurut beliau setahunya waktu itu tiada orang melayu yang berani, tapi tidak lama selepas itu Ketua kampung Sedeli Besar nama Hj Mohamad Lazim dan Imam masjid nama Haji Mansor antara orang yang orang bertanggungjawab yang menyatukan orang-orang melayu kawasan tersebut, (4) empat orang telah pergi ke Batu Pahat mendalami Ilmu Selendang merah dan kemudiannya ilmu itu diajarkan kepada penduduk setempat.

  Beliau kemudiannya mencadangkan penulis bertemu dengan rakan yang bertugas dengan beliau semasa dalam Home Guard dan masih hidup serta menetap di Kampung Sedeli Besar bernama Hussin atau lebih dikenali dengan nama Tok Hussin dan seorang lagi bernama Mohamad yang tinggal di Kampong Teluk Jeri, Tanjung Sedeli. Penulis begitu berbangga sekali mendengar kisah dan pengorbanan wira-wira Polis yang terbilang ini, meskipun telah lanjut usianya namun semangat kental yang ada dalam diri cukup hebat dan apakah generasi muda polis hari ini memiliki jiwa yang sedemikian?. Menurut beliau lagi tugas sebagai Home Guard Operation (HGO) hanya dibayar elaun RM 4 waktu itu. Tugas adalah membuat rondaan bersenjata antara (8) hingga (12) orang. Mereka bergerak  berdasarkan maklumat yang diarahkan dengan tujuan menghapuskan  aktiviti komunis komunis. Menurut beliau lagi apabila dipanggil bertugas walaupun  laut ketika musim menangkap ikan dah amat mudah  untuk mendapat pulangan yang lumayan seperti tangkapan ikan  bawal dan sebagainya namun demi menyahut seruan kerajaan mereka bersedia menyarung uniform, mengalas senjata meredah hutan, merentasi sungai tanpa ragu-ragu. Mereka sedar tugas yang mereka galas belum tentu  pasti mereka akan pulang semula ke pangkuan keluarga. Setuasi yang bergelora ketika itu dengan setiap hari berita-berita  mengenai kecelakaan yang berlaku terhadap anggota-anggota polis akibat diserang hendap komunis menjadi kisah kebiasaan.

Sebelum masuk waktu zohor, ternyata penulis bernasib baik dapat bertemu dengan Pak Hussin atau nama sebenarnya   Ahmad Bin Hussin 84 tahun merupakan anak tempatan Kampung Tanjung Sedeli Besar. Usianya memang telah lanjut namun masih mampu berbual dengan baik, kesudian mengajak penulis masuk ke dalam rumahnya memberikan peluang penulis menceritakan tujuan penulis mengunjungi beliau. Merupakan bekas Home Guard dan seterusnya berkhidmat sebagai Special Constabel dalam Area Security Unit beliau dilihat seorang yang amat tegas dan kata-katanya penuh berperinsip. Sambil menyemak helaian-helaian lama ternyata beliau masih menyimpan dengan baik akan sijil khidmat dalam Home Guard dan Special Constabel yang beliau ada. Penulis kemudiannya mengajukan pertanyaan mengenai tragedi yang menimpa  anggota Balai  Polis Sedeli Besar. Beliau mengesahkan suatu ketika dahulu Kampong Kuala Sedeli besar ini memang ada balai polis sejak sejak zaman Jepun dahulu dan sewaktu komunis menyerang anggota polis balai tersebut beliau telah turun ke laut menangkap ikan. Kejadian itu hanya diketahui apabila beliau pulang dari menangkap ikan lewat petang. Waktu itu Jenazah dah dikebumikan sementara lain-lain jenazah telah di bawa ke Kota Tinggi. Beliau juga mengingati antara yang di tembak ialah Ketua Balai tersebut yang namanya Sarjan Taib dan satu anggota nama yang beliau ingat nama Bakar. “Mereka ditembak kerana berkhidmat dengan tentera Jepun dan Komunis memang benci sangat dengan Jepun sebabnya tidak tahu tetapi orang kampong tidak pula dibunuhnya. Waktu itu Kuala Sedeli ini memang banyak komunis malah ada pusat pentadbirannya di sini, paling banyak mereka adalah di kawasan Kambau, Seingat beliau balai tersebut juga banyak kali diserangnya.Sebelum minta izin untuk menyambung mencari maklumat yang lain mengenai kesah serangan terhadap Balai Polis Sedeli Besar, Wira polis di zaman darurat ini berpesan kepada penulis untuk kehidupan yang sejahtera berpeganglah kepada perinsip (1) Kata mesti dikota (2) Amanah mesti disampaikan (3) Berjanji mesti ditepati (4) Jika ingat esok kita akan mati, berbuatlah baik agar tidak rugi di belakang nanti. 

               Pak Ahmad bin Hussin 84 Th. Bekas Koperal SC 
                  membelek  dokumen lama yang dimiikinya.

 Sebelum balik penulis sempat menemubual orang kampong Sedeli Besar  bertanyakan kisah yang berlaku, Tidak ramai warga tua yang berusia 70 tahun lebih namun kesempatan penulis ditemukan dengan seorang nenek yang lebih dikenali dengan panggilan Nenek Wan Mas walaupun usianya dikatakan lebih 90 tahun, beliau juga dapat mengingati tragedi itu antaranya menyebut nama-nama anggota polis yang diikat di batang pokok dan di tembak mati  ialah Ketua Balai Polis tersebut nama Taib, dan seorang lagi nama Deris yang dikatakan dikebumikan di kampong tersebut. Suami Nenek Wan Mas juga merupakan seorang anggota polis  Special Constabel pada masa darurat. 

 Penulis kemudiannya menemubual seorang rakan semasa Home Guard  Pak Osman yang tinggal di Kampong Teluk Jeri Dalam, Tanjung Sedeli. Kampung tersebut sebenarnya tidak sampai 2 kilometer dari Balai Polis Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil). Sebaik menemui rumah beliau, selepas memberi salam penulis menyatakan tujuan penulis datang menemui beliau, Bekas Home Guard yang lebih dikenali dengan nama Mohamad bin A. Kadir 76 tahun, merupakan anak jati Kampung Teluk Jeri Dalam, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor. Lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, penulis juga mengutarakan kisah-kisah silam terutama nya di zaman darurat. Ternyata banyak kisah-kisah pertempuran dan  tragedi yang menimpa anggota-anggota polis di zaman darurat banyak yang beliau ketahui. Kisah serangan terhadap Balai Polis Sedeli Besar, dan anggota polis diikat di batang pokok kelapa dan ditembak mati di masa 14 hari pemerintahan komunis juga beliau  tahu akan kisahnya dan beliau masih ingat dibunuh ialah  Sarjan Taib bapa saudara kawannya (Othman), sepupu bapa beliau anggota polis nama Hamid dan seorang lagi polis nama Bakar. Sememangnya peristiwa serangan terhadap balai Polis Sedeli Besar tidak jauh bezanya dengan peristiwa yang berlaku di lain-lain balai polis khususnya sewaktu sebaik sahaja pihak Jepun berundur dan pihak British masih belum menguasai sepenuhnya pentadbiran. Cerita Polis dihukum tembak, pembentukan mahkamah komunis, komunis menjadikan balai polis sebagai pejabat pentadbiran berlaku hampir dikebanyakkan tempat di Malaya khususnya di kawasan selatan Tanah Melayu.

         
            Plak penghargaan terhadap bekas pejuang milik Mohamad bin A Kadir  

Hari ini kisah-kisah tersebut terus dilupakan, peranan dan tanggungjawab yang getir, keberanian serta kesungguhan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sebenarnya tidaklah mempunyai perbezaan yang besar. “Polis dahulu dan sekarang sama sahaja  tugasnya menjaga keamanan dan keselamatan Negara, namun dulu mereka sanggup mati, sementelaah pula zaman yang penuh dengan peperangan memerlukan satu komitmen yang amat tinggi jika mahu menjadi anggota keselamatan.” Masyarakat dahulu amat mempercayai polis kerana merekalah tempat masyarakat bergantung harap terutamanya dalam soal-soal keselamatan’ Itulah antara pandangan wira-wira lama ini, biarpun telah dimamah usia jiwa yang kental serta semangat kepolisian dilihat amat menebal di hati mereka dan menceburi bidang kepolisan bererti mereka sedia menghadapi segala kemungkinan.

No comments:

Post a Comment

SENARAI BLOG

AKTIVITI JKKK TANJUNG SEDILI

JKKK TANJUNG SEDILI. Powered by Blogger.

Subscribe

E-USAHAWAN

https://www.mdec.my/eusahawan/eusahawan.html

Flickr